KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum membuat keputusan muktamad berhubung gelanggang pertemuan Malaysia menentang Thailand bagi saingan final kedua Piala AFF Suzuki, Sabtu ini.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata mesyuarat FAM jam 3 petang ini akan memutuskan sama ada perlawanan itu akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil atau Stadium Shah Alam.
Beliau berkata, FAM dan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) sememangnya menaruh harapan tinggi agar Stadium Nasional Bukit Jalil dapat menjadi tuan rumah bagi perlawanan final kedua itu.
“Tapi kita janji, hari ini juga kita akan putuskan, dalam jam 3 petang ini. Halangan kita sekarang ini bukan padang, tapi acara di luar stadium (pekarangan).
“Kita harap lepas ini, dalam masa yang singkat ini, ada perbincangan oleh pihak pengurusan stadium dengan pihak penganjur. FAM memang mengharapkan kita dapat beraksi di sini,” katanya selepas membuat tinjauan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi. – BH Online