KUALA LUMPUR – Juara bertahan, Malaysia diundi bertemu Indonesia manakala Thailand berdepan All-Star Asia dalam separuh akhir kejohanan badminton Piala Axiata 2014 di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras hari ini.
Kejohanan ini adalah acara badminton berpasukan paling kaya dengan nilai AS$1 juta (RM3.5 juta).
Separuh akhir pertama antara Indonesia dan Malaysia bermula jam 3 petang diikuti separuh akhir yang kedua antara naib juara 2013, Thailand dan All-Star Asia, jam 6 petang. Final akan diadakan Ahad ini.
Indonesia mendahului kedudukan dengan pungutan 24 mata dan All-Star Asia, tempat kedua selepas tamat pusingan awal di Jakarta, Rabu lalu.
Malaysia menamatkan kempen di tempat keempat dengan 17 mata.
“Kami agak tidak bernasib baik berdepan Indonesia di separuh akhir. Namun, ia akan menjadi perlawanan yang menarik.
“Saya percaya pemain akan dapat menepati ramalan dan melupakan kekalahan kepada Indonesia dan mempamerkan permainan lebih kemas di hadapan penyokong sendiri,” kata jurulatih kebangsaan Rashid Sidek.
Pada perlawanan pusingan awal, Malaysia terpaksa akur dengan kehebatan Indonesia apabila dibelasah 4-0.
Sementara itu, ketua jurulatih Indonesia, Ariyono Minaret berkata ia bukan satu yang mudah kepada juara edisi 2012 itu berdepan Malaysia yang sudah tentu mendapat sokongan padu penyokong tuan rumah.
“Kami akan beraksi dalam suasana yang sangat berbeza di Kuala Lumpur. Adalah sukar untuk menjangkakan keputusannya. Tetapi satu perkara yang pasti, ia akan menjadi pertemuan yang sengit,” katanya. – BERNAMA