Sepasukan anggota polis bersama penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan satu operasi untuk menghentikan program ‘Occupy UM’, pada petang Khamis.
Menurut portal Malaysiakini, pihak berkuasa tersebut muncul kira-kira jam 3 petang di hadapan pintu masuk Universiti Malaya yang menjadi tapak perkhemahan peserta program terbabit.
Operasi yang dijalankan ketika cuaca hujan lebat berjalan lancar apabila para peserta menurut arahan dan membuka khemah-khemah yang dipasang di situ.
Mengulas lanjut tindakan tersebut, Pengerusi Pro-Mahasiswa UM, Safwan Shamsuddin berkata, kumpulan pelajar sedang mempertimbangkan untuk mendirikan semula khemah selepas ini.
“Kami sudah menurunkan khemah yang kami dirikan, kerana kami tak mahu mereka angkut khemah kami.ÂÂ
Mungkin kami akan naikkannya semula nanti.”
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pandan yang juga Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli akan menyertai perhimpunan tersebut Ahad ini.
‘Occupy UM’ dianjurkan sebagai tanda solidariti membantah hukuman terhadap tujuh daripada lapan pemimpin mahasiswa UM (UM8) yang didapati bersalah menganjurkan ceramah pidato melibatkan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
‘Bekas presiden Persatuan Mahasiswa UM (PMUM) Fahmi Zainol digantung pengajian selama dua semester dan dikenakan denda RM600 manakala Safwan Shamsuddin digantung pengajian selama satu semester serta denda RM300. – MYNEWSHUB.CC