BANGI – Pelajar pintar perlu dikenal pasti, digilap dan dipupuk untuk menjadi individu berbakat kerana dengan cara sedemikian perkembangan mereka boleh dipantau, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Beliau berkata, ia adalah satu pembaziran bakat dan peluang jika sesuatu tidak dilakukan untuk memupuk 10,000 hingga 11,000 individu berbakat di negara ini.
“Oleh itu ramai pelajar pintar memilih pembelajaran di rumah apabila ibu bapa berasa sistem pendidikan masa kini tidak cukup mencabar dan tidak memenuhi keperluan pembelajaran anak-anak mereka.
“Pelajar berbakat mempunyai gaya pembelajaran berbeza yang selalunya bersifat pelbagai dimensi,” katanya dalam ucapan aluan pada Persidangan Antarabangsa Pendidikan Bagi Pelajar Pintar dan Berbakat 2014, di sini hari ini.
Rosmah yang juga penaung Program Permata berkata jika pelajar pintar itu diletakkan dalam persekitaran pembelajaran yang mendatar bersama-sama pelajar arus perdana, mereka berasa tidak sesuai.
“Mereka sentiasa akan merasa berbeza atau tidak normal dan akan bergelut untuk mendapat tempat di dunia ini,” katanya.
Rosmah berkata, walaupun insan berbakat mewakili sebahagian kecil rakyat negara ini tetapi potensi mereka besar dan tidak terbatas.
“Kita perlu meraikan kepelbagaian dalam kalangan penduduk negara ini dengan mengiktiraf pemberian ini bahawa setiap kanak-kanak yang dipupuk secara sistematik akan menjadi berbakat,” katanya.
Rosmah berkata, fokus program Permata Pintar bukan hanya pada sukatan pelajaran tetapi juga proses dan persekitaran pembelajaran yang akan membantu melahirkan kanak-kanak pintar menjadi insan berbakat yang boleh dihargai.
Beliau berkata, pendekatan pengajaran di Permata Pintar menekankan konsep pembelajaran melalui pertanyaan dan penyelesaian masalah. – BERNAMA