Pasukan mencari dan menyelamat Indonesia atau BASARNAS berdepan cuaca sukar untuk mencari kesemua 162 orang mangsa nahas pesawat AirAsia QZ8501 yang terhempas Ahad lepas.
Ia berikutan cuaca ribut yang kuat di Selat Karimata iaitu antara Kalimantan dan Sumatera berdekatan Pulau Belitung.
Laporan stesen televisyen Indonesia, Kompas TV, pasukan Tentera Indonesia terpaksa menghentikan operasi tersebut sehingga cuaca kembali baik.
“Kami mengalami cuaca buruk sekarang. Hujan dan angin menghalang kami daripada meneruskan operasi mencari pagi ini,” kata pegawai SB Supriyadi pada satu sidang media pagi ini.
Manakala portal Detiknews pula melapokan operasi mencari itu turut melibatkan pasukan penyelam, bagaimanapun kerana hujan dan ombak yang tinggi, misi tersebut sukar dilaksanakan.
Menurut Detiknews setakat ini pihak berkuasa Indonesia masih belum mengeluarkan jumlah rasmi jenazah yang sudah ditemui daripada pasukan penyelamat.
Operasi mencari mangsa korban pesawat AirAsia bermula sekitar jam 6 pagi hari ini apabila tempoh selama tiga jam diperlukan pasukan penyelamat untuk ke lokasi pencarian dari Pengkalan Bun.
AirAsia QZ8501, dipercayai terhempas ketika dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura pada pagi Ahad, membawa tujuh anak kapal dan 155 penumpang termasuk 16 kanak-kanak dan seorang bayi.
Mereka terdiri daripada 155 warga Indonesia, tiga dari Korea Selatan dan masing-masing seorang dari Singapura, Malaysia, United Kingdom dan Perancis.
Kali terakhir ia berhubung dengan pusat kawalan trafik ialah ketika meminta kebenaran terbang pada altitud lebih tinggi bagi mengelak awan tebal dalam cuaca buruk.
Terdahulu Ketua BASARNAS Indonesia Bambang Soelistyo berkata enam mayat daripada pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 ditemui setakat ini, termasuk seorang anak kapal.
Misi mencari mangsa nahas pesawat itu berakhir dengan penemuan jasad manusia dan serpihan kapal terbang di Selat Karimata iaitu tempat terakhir dikesan antara radar kapal terbang itu dengan pusat kawalan trafik udara sebelum ia hilang.
Serpihan juga dikesan semasa carian udara di sektor itu, menemui objek yang kelihatan seperti slaid kecemasan dan pintu kapal terbang di dalam laut, yang kemudiannya Indonesia mengesahkan 95% milik pesawat terbabit. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=7bOkRoj389w