Manggar, Belitung Timur: Jasad penumpang dan anak kapal pesawat AirAsia Indonesia QZ8510 dijangka tiba di Pelabuhan Tanjung Rhu, Balitung Barat sama ada tengah malam ini atau pagi esok.
Bupati Pemerintah Kabupaten Belitung Timur Dr Basuri Tjahaja Purnama berkata, Badan Mencari Dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) memutuskan untuk menjadikan pelabuhan berkenaan sebagai pusat pemindahan dan pengurusan jasad mangsa nahas pesawat berkenaan.
Katanya, ini kerana, Pangkalan Bun, Kalimantan tidak mempunyai pelabuhan besar untuk kapal perang Indonesia, KRI Bung Tomo Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang membawa jasad mangsa nahas pesawat itu berlabuh.
“Pelbagai agensi termasuk pihak hospital sudah bersedia untuk menerima jasad mangsa dan diuruskan sebagaimana diperlukan.
“Sebanyak 18 ambulans sudah bersiap sedia di pelabuhan itu bagi membawa jenazah mangsa ke Rumah Sakit Tanjung Pandan untuk proses bedah siasat,” katanya pada sidang media di Pos TNI AL Manggar, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Seksyen BASARNAS Pangkalan Bangka – Belitung, Andri Andy berkata, selepas pengesahan penemuan serpihan pesawat itu ditemui, pihaknya menutup 12 daripada 13 sektor pencarian yang dibahagikan sebelum ini untuk memberi laluan kepada pasukan SAR memfokuskan tumpuan di Selat Karimata.
Petikan: http://www.hmetro.com.my/
https://www.youtube.com/watch?v=7bOkRoj389w