BANDA ACEH – Lebih 7,000 orang berhimpun di Masjid Agung Baiturrahman di sini bagi memperingati genap sedekad tragedi tsunami melanda ibu wilayah Aceh itu hari ini yang turut mengorbankan lebih 220,000 nyawa di 14 buah negara sekitar Lautan Hindi.
Masjid berkubah hitam itu mula terkenal di seluruh dunia ekoran visual disiarkan stesen televisyen memaparkan suasana ngeri air laut deras membawa ribuan mayat dan runtuhan bangunan mengelilingi rumah ibadat tersebut yang masih teguh tidak terusik.
Selain penduduk tempatan, mangsa yang terselamat daripada musibah itu, petugas agensi kecemasan antarabangsa dan pelancong asing turut berkumpul di pekarangan masjid untuk bertafakur serta berdoa bagi mengenang mereka yang maut dalam peristiwa tersebut.
Tepat pukul 8 pagi (9 pagi waktu Malaysia), seluruh Aceh senyap sunyi seketika sebagai menandakan masa gempa bumi 9.3 skala Richter – ketiga terkuat di dunia; mula bergegar selama 10 minit pada 26 Disember 2004 sebelum disusuli tsunami setinggi 30 meter.
Gabenor Aceh, Zaini Abdullah dalam ucapan ringkas menyatakan terima kasih kepada masyarakat antarabangsa kerana membantu memulihkan semula wilayah itu selepas tragedi yang membunuh 170,000 orang khasnya di sekitar pulau Sumatera, Indonesia.
Beliau malah berkata, bencana dahsyat yang asalnya disebabkan gempa bumi itu membawa hikmah tersendiri apabila berjaya menamatkan konflik berdarah puluhan tahun antara gerakan pemisah kemerdekaan Aceh dengan pemerintah pusat Jakarta.
Dianggarkan kira-kira AS$13.5 bilion (RM47 bilion) dana pelbagai pihak dari serata dunia bagi membangunkan kembali wilayah Aceh yang hancur termasuk membina semula lebih 140,000 rumah penduduk, ribuan kilometer jalan raya, hospital dan sekolah baharu.
Selain Indonesia, turut dibadai tsunami terkuat dalam sejarah itu ialah Thailand apabila hampir 5,400 orang terkorban, India (18,000 maut), Sri Lanka (31,000 maut), Maldives (82 maut), Myanmar (61 maut), Malaysia (68 maut) dan Somalia (280 maut). – Agensi