KUALA LUMPUR – Pesuruhjaya Tinggi Pakistan di Malaysia Syed Hassan Raza menyifatkan serangan pengganas terhadap sebuah sekolah di Peshawar sebagai tindakan supraekstremisme yang tidak berperikemanusiaan.
Beliau berkata kejadian tragik itu, yang mengorbankan lebih 100 kanak-kanak dan kakitangan sebuah sekolah kelolaan tentera, telah membangkitkan kemarahan dan kesedihan dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia termasuk rakyat Malaysia.
“Insiden ini bukan sahaja menyentuh hati rakyat Pakistan. Mereka adalah jijik kerana orang yang menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa kemarahan mereka adalah orang yang sakit (dari segi mental),” kata beliau.
Syed Hassan berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri upacara doa dan menyalakan lilin bagi mangsa di perkarangan Suruhanjaya Tinggi Pakistan di sini semalam.
Upacara itu dianjurkan Suruhanjaya Tinggi bagi membantu masyarakat Pakistan di Malaysia untuk meluahkan perasaan mereka dan bersatu ketika melalui masa yang sukar ini.
Syed Hassan berkata beliau telah memberi jaminan kepada rakyat Pakistan di Malaysia bahawaĆāĆĀ kerajaan Pakistan akan berusaha mengekang keganasan secara efisien.
“Kerajaan Pakistan sedang menyiasat dalang insiden itu dan berjanji untuk membawa pelaku jenayah itu ke muka pengadilan,” katanya.
Upacara itu menyaksikan kira-kira 200 orang berkumpul dalam suasana suram, dengan wakil masyarakat itu membacakan ayat-ayat suci Al-Quran. Lilin-lilin kemudian dinyalakan sebagai penghormatan kepada mangsa, sebelum mereka menunaikan solat Maghrib. – BERNAMA