KUALA LUMPUR – Sesi baharu persekolahan bagi semua sekolah di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diselaraskan dengan sesi persekolahan sekolah dibawah Kementerian Pendidikan bagi tahun 2015.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan. Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, keputusan itu dibuat untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat mengenai sesi persekolah tahun depan.
“Merujuk kepada keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) bertarikh 31 Disember 2014. Kerajaan Selangor telah bersetuju untuk menyelaraskan semua sekolah-sekolah di bawah pentadbiran JAIS untuk memulakan sesi persekolahan tahun 2015 selaras dengan sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu sesi persekolahan tahun 2015 akan bermula pada 12 Januari 2015.
“Keputusan ini mengambil kira semua keadaan dan kesukaran semua pihak yang terlibat dalam bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri dan beberapa kawasan di Selangor. Kerajaan Selangor amat bersimpati dan prihatin kepada keluarga yang terlibat dengan bencana banjir,” kata kenyataan itu hari ini.
Sehubungan itu, kerajaan Selangor mengharapkan sekolah-sekolah swasta dan agensi-agensi lain di Selangor turut menyelaraskan permulaan sesi persekolahan pada 12 Januari 2015 untuk mengelakkan kekeliruan. – mynewshub.cc