PETALING JAYA – Pelakon Shaheizy Sam berazam menyempurnakan permintaan ibunya, Khaty Fauziah Musa untuk membeli sebuah rumah besar agar mereka dan keluarga dapat tinggal di bawah satu bumbung.
Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 32, berkata, ibunya sering meluahkan hasrat untuk mengumpulkan adik beradiknya di bawah satu bumbung agar dapat hidup bersama.
“Setiap orang ada keinginan masing-masing di dunia. Begitu juga dengan ibu, keinginan dia sama dengan saya. Dia dan saya ingin menyediakan sebuah kediaman yang selesa untuk diduduki oleh seluruh keluarga kami.
“Bagaimanapun saya masih berusaha ke arah itu, bekerja keras untuk mengumpul duit,” katanya kepada mStar Online.
Tambah Sam, keadaan itu membuatkan dia terpaksa mengenepikan soal cinta dan hanya fokus kepada kerjaya lakonan untuk melaksanakan impian itu.
Dalam pada itu, Sam juga bersyukur dia masih lagi mendapat pelbagai tawaran lakonan meskipun tidak terlalu popular seperti selepas kemenangannya sebagai Artis Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) tahun 2012.
Sementara itu, Sam yang bakal muncul menerusi filem Manisnya Cinta Di Cappadocia (MCDC) pada 11 Disember ini tidak sabar menunggu respons peminat-peminat mengenai lakonannya dalam karya arahan Bernard Chauly itu.
Katanya, itu merupakan kali pertama dia membawakan watak seorang lelaki romantis sebagai Nazmi yang menyintai Ifti Liyana, lakonan Fazura.
“Bukan senang nak bawak watak ini kerana lelaki romantis bukanlah jiwa saya.
“Tetapi saya berusaha juga untuk menjiwai watak itu. Mujurlah saya pernah bekerjasama dengan Fazura dan ia sedikit sebanyak memudahkan saya untuk mendapatkan keserasian,” ujarnya.
Filem terbitan bersama Astro Shaw, Redfilms dan Global Stations itu mengisahkan tentang kehidupan seorang gadis bernama Ifti Liyana yang tidak pernah mengharapkan kasih sayang daripada seorang lelaki.
Pertemuan Ifti dengan Nazmi telah membuatkan hatinya terbuka semula untuk berkasih apatah lagi Nazmi turut yakin, Ifti adalah wanita yang dicari-carinya selama untuk dijadikan isteri.
Antara pelakon lain yang turut terlibat termasuklah Faizal Hussein, Josiah Hogan, Lisa Surihani, Eja, Zaibo dan Fauziah Ahmad Daud. – mStar Online