PETALING JAYA – Penyanyi rap SonaOne tidak dapat menggambarkan dengan kata-kata apabila No More mencipta sejarah sebagai lagu Inggeris pertama memenangi trofi Lagu Terbaik Anugerah Industri Muzik 21 (AIM 21) yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada malam Sabtu lalu.
SonaOne atau nama sebenarnya Mikael Adam Mohd Rafae, 26, berkata, kejayaan karyanya itu memecah tradisi adalah bukti muzik bukan lagi semata-mata tentang bahasa tetapi kualiti sesebuah lagu yang dihasilkan.
“Apabila nama saya disebut memenangi kategori tersebut semua imej tentang apa yang saya lalui sepanjang dua tahun lalu berada di depan mata saya. Saya hilang kata-kata.
“Bagaimanapun ini adalah pengalaman yang cukup berbaloi dan saya tidak pernah bermimpi untuk berdiri di atas pentas menerima trofi ini,” katanya kepada mStar Online.
SonaOne turut membawa pulang dua lagi anugerah iaitu Lagu Inggeris Tempatan Terbaik menerusi No More manakala kolaborasinya bersama Joe Flizzow (Apa Khabar) diumumkan sebagai Lagu Hip Hop Terbaik.
Dalam pada itu, SonaOne berkata, biarpun mendapat pengiktirafan menerusi lagu berbahasa Inggeris di akan terus menghasilkan lagu dalam bahasa Malaysia selepas single terbaharunya berjudul Hakeleh berjaya menduduki tangga pertama carta iTunes kurang daripada 24 jam ia dilancarkan pada 18 November lalu.
SonaOne berkata, dia semakin selesa menyanyikan dalam bahasa Malaysia biarpun masih mempunyai masalah pelat.
“Apabila Hakeleh muncul ditangga pertama carta iTunes seluruh badan saya menjadi kebas kerana kurang 24 jam ia dilancarkan lagu berkenaan mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan.
“Alhamdulillah ia diterima baik dan sudah tentu ia menjadi pemangkin semangat kepada saya untuk terus menghasilkan lagu dalam bahasa itu dengan lebih banyak pada masa hadapan,” katanya.
Bagaimanapun kata SonaOne, dia tidak mahu melihat masalah pelat yang ada pada pertuturannya menjadi penghalang untuk dia terus berkarya dalam bahasa itu sebaliknya menganggap ia satu keistimewaan.
“Masih ada perkataan yang saya sendiri tidak tahu maksud atau menyebutnya dengan betul tetapi Joe Flizzow sering memberitahu lihat kelemahan itu sebagai satu kebaikan.
“Pelat itu sebenarnya menjadi trademark dan saya dikenali kerana perkara itu,” katanya.
Sementara itu, SonaOne berkata, biarpun bukan mudah menghasilkan lagu rap dalam bahasa itu namun ia tidak menjadi penghalang kepadanya kerana menganggap ia sebagai salah satu proses untuknya menguasai bahasa Malaysia dengan lebih baik.
Jelas jejaka kacukan Melayu-Perancis itu, mentornya Joe Flizzow adalah individu yang sentiasa memberinya semangat dan keyakinan untuk tidak berputus asa menulis lirik dalam bahasa itu.
“Terus terang saya hanya mula mempelajari bahasa Malaysia ketika berusia 16 tahun dan sehingga kini penguasaan saya hanya dalam 60 peratus.
“Tetapi itu tidak menjadi penghalang kerana saya banyak belajar menerusi bahan bacaan dan program televisyen dan kini penulisan lirik,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, SonaOne berkata, dia bakal melancarkan album sulungnya pada tahun hadapan dan ia masih dalam proses rakaman. – mStar Online