Seorang penulis novel, Elias Idris mengemukakan saman terhadap tiga pihak iaitu Yusuf Haslam, Syamsul Yusuf dan Skop Production kerana mendakwa filem Bohsia yang ditayangkan pada 2009 merupakan karya ciplak dari novelnya bertajuk Aku Bohsia terbitan 1995.
Melalui akhbar Harian Metro, Syamsul walau bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut, malah mendakwa tidak tahu tentang kewujudan novel tersebut di pasaran.
“Sumpah demi Allah, demi Rasul saya tak buat seperti apa yang dituduh itu. Saya tak pernah tahu pun mengenai novel itu. Jadi tak mungkin saya nak tiru. Mungkin beberapa persamaan yang wujud dalam novel dan filem itu hanya satu kebetulan.
“Papa pernah memaklumkan hal mengenai ketidakpuasan hati seorang penulis novel mendakwa kami menciplak novelnya menjadi filem Bohsia (2009). Mereka pernah berbincang dan kami menafikan dakwaan itu sebab ia memang tak berlaku seperti dituduhnya.”
Syamsul berkata tindakan saman ini merupakan sesuatu yang di luar jangkaannya namundia bersama syarikat terpaksa melawannya untuk menegakkan keadilan.
Penulis novel tersebut mendakwa, terdapat beberapa persamaan filem Bohsia dengan karyanya di samping beberapa watak serta jalan cerita dalam novelnya itu ditiru dan divisualkan dalam filem tanpa kebenaran. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR