Tambang untuk perkhidmatan bas sekolah berkemungkinan dinaikkan bermula sesi persekolahan yang akan bermula bulan depan.
Bagaimanapun, kenaikan itu dikatakan perlu mendapatkan kebenaran daripada ibu bapa pelajar terlebih dahulu.
“Kita tidak boleh menaikkan kadar tambang sesuka hati. Kita perlu berbincang dengan ibu bapa terlebih dahulu, mengenai tawaran tambang baharu berkenaan,” kata Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Shah Alam, Selangor, Razak Ahmad.
Beliau berkata sekiranya tambang dinaikkan sesuka hati tanpa perbincangan dan kebenaran dari ibu bapa, tindakan boleh diambil terhadap pengusaha-pengusaha perkhidmatan itu.
MENARIK – MyCC : Jangan Berpakat Tetapkan Tambang Bas Sekolah
Razak menyuarakan kebimbangan di kalangan pengusaha berkenaan kenaikan kos alat ganti dan penyelenggaran serta kemungkinan subsidi diesel dihentikan tahun depan.
“Agak sukar untuk kami jika tidak menaikkan tambang bas sekolah,” kata Razak memetik laporan Mstar Online.
Sebelum ini, tambang perkhidmatan itu dikawal oleh kerajaan.
Kemestian itu akan dibatalkan berkuatkuasa 1 Januari depan, di mana kadar tambang baru perlu ditentukan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta pengusaha bas sekolah seperti yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Harga diesel naik tiga sen kepada RM2.23 seliter pada 1 Disember selepas kerajaan mengumumkan tiada lagi pemberian subsidi bahan api dan menggunapakai kaedah pengapungan mengikut harga pasaran.
Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, subsidi bahan api bagi pengangkutan awam, termasuk bas sekolah, bas ekspres, bot nelayan dikekalkan iaitu antara RM1.88 dan RM1.68 seliter.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persekutuan Pengusaha Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Md Saad Mohamad berkata peningkatan tambang bas sekolah sudah pasti akan berlaku.
Bagaimanapun, beliau meminta kerajaan meningkatkan subsidi diesel untuk bas sekolah bagi membolehkan tambang bas tersebut kekal rendah kepada ibu bapa.
Katanya, hal ini kerana, terdapat pengusaha bas yang kasihan terhadap kanak-kanak sekolah dan turut melakukan perkhidmatan kebajikan secara tidak langsung.
Md Saad berkata SPAD perlu memikirkan cara terbaik untuk membantu golongan ibu bapa. – MYNEWSHUB.CC
Video Tinjauan Isu Kenaikan Harga Tambang Bas Sekolah Tahun Lepas
http://youtu.be/G9l_nME5ICU