Wireless charging atau pengecasan tanpa wayar merupakan cara lebih mudah bagi mengecas peranti mudah alih.
Walaupun penggunaannya tidaklah begitu popular di kalangan pengguna buat masa ini, teknologi baru sebagai penambahbaikan tetap dibuat.
Buat masa ini, teknologi pengecasan tanpa wayar mengambil masa lama memandangkan ia hanya berfungsi pada kadar 5 watt.
Perkara ini bakal berubah tahun 2015, apabila Freescale, sebuah pengeluar cip yang mempunyai kepakaran dalam pengecasan tanpa wayar, bakal melancarkan unit pengecasan pantas.
Sistem pengecasan tanpa wayar terbaharu itu membolehkan peranti dicas pada kadar 15 Watt, 3 kali lebih pantas berbanding unit pengecasan sebelum ini.
Sebuah peranti dengan bateri 4000mAh boleh dicas semula dalam masa dua jam diperkenalkan, satu langkah besar dalam teknologi pengecasan tanpa wayar.
Kini pengecasan tanpa wayar semakin mendapat tempat di kalangan pengeluar telefon pintar, namun teknologi tersebut masih belum mencuri hati pengeluar tablet.
Ini kerana kadar pengecasan 5 watt terlalu perlahan untuk menjadikan pengecasan tanpa wayar sesuai untuk tablet yang mempunyai bateri lebih besar daripada telefon pintar.
Dengan adanya teknologi Freescale yang mengecas pada kadar 15 watt, pengecasan tanpa wayar untuk tablet dan peranti lebih besar kini munasabah untuk dilakukan.
Oleh: hzqahmd/MYNEWSHUB.CC