SYDNEY – Drama tebusan di sebuah kafe elit, Lindt Chococlate Café di Martin Place, Central Business District (CBD) di sini pagi ini bukan sahaja menyusahkan penduduk yang ada urusan penting di kawasan perniagaan sibuk itu sepanjang hari Isnin.
Malah kesempatan itu turut dieksploitasi perkhidmatan teksi mewah pintar kontroversi Uber apabila mengenakan caj sehingga A$100 (RM288) bagi pelanggan mahu memasuki mana-mana destinasi di sekitar CBD yang dikepung pasukan polis Australia.
Menurut laman perkongsian Twitter menerusi akaun Uber Sydney kira-kira pukul 11.15 pagi (9.15 pagi waktu Malaysia), pelanggan akan membayar caj mahal kerana pemandu teksi itu perlu menanggung bahaya besar apabila memasuki zon tersebut atas risiko sendiri.
“Kadar tinggi dikenakan bagi pemandu Uber dapat memasuki kawasan CBD,†tulis Twitter itu ekoran insiden tebusan yang menggemparkan dunia sehingga menyebabkan sebahagian besar bandar raya Sydney langsung terpaksa ditutup kepada orang ramai.
Namun, sebagai balasan, pelanggan yang diambil terus dari zon itu pula dikecualikan daripada apa-apa bayaran bagi memudahkan orang ramai agar dapat keluar dengan selamat dari CBD khusus hanya sepanjang drama tebusan luar jangkaan itu berlangsung.
Uber Sydney yang dilancarkan sejak 14 Jun 2013 lalu menawarkan kereta mewah Toyota Corolla, Honda Civic dan Ford Falcon dengan caj minimum A$8 (RM23) bagi jarak dekat manakala dari CBD ke lapangan terbang pula dikenakan bayaran A$75 (RM216).
Perkhidmatan tanpa tip yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu mewajibkan pelanggan membuat tempahan secara talian menerusi telefon pintar iPhone atau jenis Android dan bayaran tambang akan ditolak automatik terus daripada kad kredit yang didaftarkan.
Teksi Uber baru-baru ini mencetuskan kontroversi di New Delhi, India susulan kes rogol pemandu ke atas penumpangnya menyebabkan perkhidmatan itu diharamkan di negara tersebut selain Sepanyol, Thailand, Jerman dan Perancis. – Agensi