KUALA TERENGGANU – Terengganu akan menyenarai 20 pelumba, termasuk enam wanita ke Kejohanan Lumba Basikal Pesta Pulau Pinang dari 19 hingga 21 Disember ini.
Ketua jurulatih Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata majoriti pelumba yang menyertai kejohanan berkenaan adalah pelumba pelapis.
Beliau berkata penyertaan pelumba Terengganu pada kejohanan tersebut bukan sahaja bagi meraih pingat, sebaliknya sebagai pendedahan untuk menimba pengalaman.
“Kejohanan ini sebagai pendedahan di bawah program pembangunan PLBT kepada pelumba baharu termasuk pelumba Sukma (Sukan Malaysia) 2015,” katanya, hari ini.
Syed Mohd Hussaini berkata perlumbaan tersebut antara beberapa kejohanan akhir dalam kalendar PLBT sebelum menutup tirai aksi 2014.
Beliau berkata kejohanan lain yang akan disertai pelumba Terengganu tahun ini ialah Jelajah Malaysia dari 12 hingga 17 Disember serta Jelajah Kudus di Semarang, Indonesia dari 16 hingga 22 Disember. – BERNAMA