KUALA TERENGGANU – Walaupun Terengganu sendiri mengalami banjir, tetapi ia tidak menjadi halangan kepada kerajaan negeri untuk membantu mangsa banjir di negeri jiran Kelantan.
Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata melalui Sukarelawan Barisan Nasional (BN) Besut, sebanyak lima buah lori dengan muatan barangan makanan dan keperluan lain telah dihantar ke negeri Cik Siti Wan Kembang itu semalam.
“Kita bukan sahaja mengalami banjir yang besar, tetapi dalam masa yang sama kita turut membantu negeri jiran yang mengalami nasib yang lebih buruk pada banjir kali ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ahmad Razif berkata kerajaan negeri juga mengalu-alukan kehadiran mana-mana sukarelawan yang ingin membantu Terengganu dalam menghadapi situasi banjir sekarang.
Katanya beliau telah mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri Datuk Rozi Mamat menyelaras jika terdapat sukarelawan yang ingin menghulurkan khidmat bakti mereka semasa musim banjir sekarang.
“Mereka bolehlah berjumpa dengan Rozi yang ditugaskan mengumpul sukarelawan dan seterusnya akan diagihkan tugas ke tempat-tempat yang terlibat dengan bencana alam itu bagi tujuan pasca banjir,” katanya. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=L24WYEdLXn8