KNOXVILLE (Tennessee) – Dua bas sekolah bertembung di Lebuhraya Tennessee petang semalam, mengakibatkan dua pelajar serta seorang dewasa terkorban manakala 27 lagi cedera.
Polis berkata siasatan awal mendapati sebuah bas membuat pusingan tajam ke kiri sebelum terlanggar konkrit di tepi jalan lalu merempuh sebuah bas lain dari laluan bertentangan.
Akibat pelanggaran kuat, bas kedua itu terbalik ke kiri dan tergelincir.
Ketua Polis Knoxville, David Rausch, berkata pelajar yang terbunuh belajar di tingkatan tiga manakala mangsa dewasa yang maut adalah pembantu kepada pemandu bas.
Tiga mangsa yang parah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Tennessee dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Jurucakap pusat perubatan, Jim Ragonese berkata tujuh orang dirawat dengan tiga daripada mereka sudah keluar dari hospital berkenaan.
Rausch berkata, 18 daripada 20 pelajar di dalam bas itu sedang dalam perjalanan pulang dari Sekolah Rendah Sunnyview.
Sebuah lagi bas yang terbabit dalam kemalangan adalah dari Sekolah Menengah Chilhowee. – AP