TAWAU – Pergerakan Wanita Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) perlu memperbanyak serta merancakkan penganjuran program dakwah bagi memastikan umat Islam di negeri ini terus bersatu.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata usaha untuk mempergiat syiar Islam sangat penting kerana penyebaran agama Islam adalah tanggungjawab yang harus dilaksanakan setiap umat Islam.
“Program dakwah itu penting untuk memastikan umat Islam dapat bersatu dalam menyuarakan pandangan serta tindakan untuk menegakkan muqasad syariah.
“Oleh itu sebagai pertubuhan Islam terbesar di Sabah, USIA harus bersatu hati dan bekerjasama untuk merancakkan lagi penganjuran program dakwah,” katanya ketika merasmikan Program Keluarga Sakinah anjuran USIA di sini, hari ini.
Beliau berkata anggota USIA juga perlu terus bekerjasama mempertahankan kesucian Islam agar dihormati oleh penganut agama lain.
“Sebagai seorang Islam, kita mesti menunjukkan ciri-ciri kemuliaan Islam supaya masyarakat bukan Islam menghormati kita dan pada masa yang sama kita juga perlu menghormati agama lain.
“Kita perlu contohi sifat Nabi Muhammad S.A.W yang sangat mulia dan berbudi pekerti sehingga membuatkan orang bukan Islam menghormati serta ada yang memeluk Islam pada zaman baginda,” katanya.
Mengenai Akta Hasutan 1948, Azizah berkata akta tersebut perlu ditambah baik dengan memasukkan elemen agama.
“Ia penting untuk memastikan keharmonian dan perpaduan negara terus terjamin. Agama satu elemen yang perlu ada dalam akta hasutan agar seluruh masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini saling hormat menghormati,” katanya. – BERNAMA