Peningkatan kes denggi di negara ini cukup membimbangkan, hingga pelbagai kaedah dilaksanakan kerajaan bagi menanganinya terutama menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Antara bukti langkah serius diambil bagi menentang penularan denggi termasuklah penglibatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri bagi mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Kebangsaan Mengenai Denggi, pada 1 Julai lalu.
Mesyuarat yang dihadiri Muhyiddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam ini turut membabitkan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain agensi bagi mencari formula terbaik menyelesaikan masalah denggi yang telah mencetuskan kebimbangan umum.
Antara hasil mesyuarat adalah pengumuman penubuhan Pasukan Khas bagi membantu KKM menangani isu denggi yang berada di luar bidang kuasa mereka seperti pengurusan sampah di tapak binaan, struktur bangunan tempat pembiakan Aedes dan sistem perparitan yang tidak diselenggara.
Bagaimanapun di pihak KKM sendiri, usaha menggempur Aedes yang menjadi punca denggi tidak pernah surut. Mereka turut mempunyai pasukan khas sendiri yang dinamakan Pasukan Khas Pendidikan Kesihatan (PAKAT).
Tugas utama PAKAT yang terdiri daripada kakitangan KKM seluruh negara adalah menggerakkan komuniti bagi menjayakan aktiviti gotong royong terutama di kawasan hot spot denggi seperti daerah Petaling, Gombak dan Hulu Langat di Selangor.
Sebelumnya, anggota PAKAT terlebih dahulu mendapatkan data asas berkaitan kawasan terlibat, mengadakan lawatan ke lapangan, mengenal pasti pihak penting di kawasan sasaran seperti persatuan penduduk, seterusnya mengadakan perbincangan bersama komuniti tentang aktiviti yang akan dijalankan.
Hasil tinjauan dilakukan Mynewshub, pendekatan dilakukan KKM menerusi PAKAT amat efektif dan berjaya.
Maklumlah, bukan mudah menghimpun satu komuniti untuk sama-sama menggembleng tenaga membersihkan kawasan sekitar namun team PAKAT nyata berjaya melakukannya.
Lihat sajalah video yang kami rakamkan di bawah.
https://www.youtube.com/watch?v=x_ORdcIMj90
Apa pun, dalam keadaan kes denggi yang meningkat apatah lagi musim cuaca sekarang adalah tempoh nyamuk dikatakan paling mudah membiak, diharapkan usaha membersihkan kawasan sekitar agar bebas daripada Aedes akan diteruskan masyarakat Malaysia meskipun tanpa kehadiran PAKAT di kawasan anda. – MYNEWSHUB.CC
Video: RIZA RAZAK