PARIS – Seorang warga Perancis, Serge Lazarevic yang diculik di utara Mali dan tebusan Perancis terakhir di luar negara, dibebaskan selepas ditahan oleh sayap al-Qaeda di Afrika Utara selama hampir tiga tahun.
Walaupun pembebasan tebusan terakhir Perancis itu menaikkan nama Presiden Francois Hollande, ia menimbulkan persoalan berikutan laporan akhbar menyatakan terdapat pertukaran tahanan dan kemungkinan adanya pembayaran wang tebusan bagi mendapatkan pembebasan Lazarevic.
Lazarevic, 50, bercakap kepada pemberita di Kedutaan Perancis di Niamey semalam, duduk bersebelahan Presiden Niger, Mahamadou Issoufou, yang dikatakan bertanggungjawab mendapatkan pembebasan itu.
“Saya ingin mengucapkan penghargaan kepada rakyat Niger yang bekerjasama dengan Perancis bagi membebaskan saya…saya kehilangan 20 kilogram tetapi masih OK. Saya masih sihat,” katanya sambil tersenyum.
Pejabat presiden berkata Hollande akan menemui Lazarevic, seorang jurutera, hari ini pada jam 6.30 pagi GMT di Lapangan Terbang Villacoublay berdekatan Paris.
Akhbar di Mali dan dua sumber lain menyatakan beberapa militan yang ditahan di Mali dibebaskan sebagai pertukaran dengan Lazarevic.
“Terdapat lima tahanan yang ditukarkan dengan lelaki Perancis itu,” kata satu sumber di utara Mali. – Reuters
https://www.youtube.com/watch?v=TDNDpxB_Xok