TAWAU – Jabatan Imigresen Tawau menahan 21 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam operasi di tiga pusat hiburan di sekitar pusat bandar ini, malam tadi.
Ketua Imigresen Tawau Noraini Rasi berkata mereka yang ditahan dalam operasi kira-kira 8 malam itu terdiri daripada seorang lelaki dan 20 wanita berumur antara 20 dan 30 tahun.
“Mereka ditahan kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah serta menyalahgunakan pas lawatan sementara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002) dan Peraturan-peraturan Imigresen Seksyen 39(b) 1959/1963 (Pindaan 2002).
Sementara itu Noraini berkata pihaknya akan terus melaksanakan operasi membenteras kehadiran PATI di daerah itu dari semasa ke semasa. – BERNAMA