PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan mengenal pasti empat cabaran utama sebagai wadah penting meningkatkan kualiti pendidikan bagi melahirkan modal insan untuk memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keempat-empat cabaran itu jelas menuntut agar generasi masa hadapan dididik dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai murni bagi mencapai matlmat melahirkan rakyat yang mampu menghadapi cabaran masa kini dan masa hadapan.
“Kita bukan sahaja perlu lahir insan yang berpengetahuan tinggi tetapi insan yang berguna dan warga yang baik yang boleh menyumbang sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian ketika menyampaikan perutusan Tahun Baharu Kementerian Pendidikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Beliau menggariskan cabaran pertama iaitu perkembangan ekonomi Asean yang bakal menjadikan rantau Asean sebagai blok ekonomi yang kelima terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat, China, Jepun dan India.
Muhyiddin berkata perkembangan itu pastinya akan merangsang perniagaan dan perdagangan dalam negeri dan antara negara Asean, dan Malaysia perlu bersedia menghadapi persaingan ekonomi, keselamatan dan kebudayaan yang lebih terbuka.
“Dengan pelaksanaan Komuniti Asean tahun ini, sektor pengajian tinggi boleh turut memainkan peranan dengan merangka satu perancangan strategik untuk menangani cabaran mobiliti tenaga kerja mahir dalam pasaran pekerjaan serantau yang lebih terbuka,” jelasnya.
Bagi cabaran kedua, Muhyiddin berkata warga kementerian perlu sentiasa peka terhadap perubahan dan kemajuan di peringkat antarabangsa serta ketidakpastian pada masa akan datang.
Menyedari keperluan untuk sektor pendidikan berkembang seiring dengan perkembangan pendidikan dunia, beliau berkata kementerian komited untuk melaksanakan jaringan kerjasama antarabangsa dalam penyelidikan, latihan pra dan dalam perkhidmatan untuk tenaga pengajar, program penandaarasan dan mobiliti pelajar.
“Malaysia akan terus memainkan peranan penting dalam menerajui pembangunan pengkomersilan khususnya pembelajaran sepanjang hayat, pendidikan keusahawan dan penyelidikan serta inovasi sebagai usaha kolaboratif dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC),” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata Malaysia akan menerajui penubuhan OIC Collaborative Efforts in Commercialisation and Entrepreneurship Education (OIC-CECE) yang akan menjadi pusat rujukan bagi negara-negara anggota OIC.
Bagi cabaran ketiga pula, timbalan perdana menteri berkata kementerian dipertanggungjawabkan peranan penting untuk menghasilkan Modal Insan Minda Kelas Pertama yang mampu menggunakan pengetahuan secara proaktif, kreatif dan inovatif dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11).
“Modal insan yang dilahirkan oleh sistem pendidikan kita perlu berupaya menangani persekitaran global yang sentiasa berubah, meningkatkan kualiti hidup serta menyumbang kepada kesejahteraan dan kekayaan negara,” katanya.
Di samping itu, beliau berkata program-program yang dilaksanakan mestilah berimpak tinggi, berpelaksanaan cepat dan bertransformasi dalam RMK-11.
Muhyiddin turut menggariskan cabaran keempat kepada kepesatan teknologi yang kini menghasilkan perubahan pada corak, cara dan gaya hidup manusia yang menyebabkan dunia menjadi semakin kecil dan kompetitif.
“Jelasnya, pembangunan dalam bidang teknologi ini walaupun banyak mempunyai kelebihan tetapi banyak juga cabaran yang perlu dihadapi khususnya dalam mendidik insan supaya menjadi pengguna teknologi yang bertanggungjawab,” katanya.
Justeru, Muhyiddin mengingatkan warga kementerian, adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk menyediakan landasan terbaik bagi rakyat menikmati kehidupan yang lestari di masa hadapan. – BERNAMA