NIAMEY – Lima maut dalam keganasan membantah penyiaran kartun Nabi Muhammad dalam majalah mingguan satira Charlie Hebdi di ibu negara Niger apabila penunjuk perasaan membakar gereja, rumah dan premis perniagaan.
Penunjuk perasaan yang marah membakar sekurang-kurangnya lapan gereja di Niamey, selain mensasarkan hotel, bar dan beberapa bangunan kerajaan yang dimiliki bukan Islam atau ada kaitan dengan firma Perancis.
Keganasan masuk hari kedua di negara Afrika Barat itu meletus selepas lima terbunuh manakala 45 lagi cedera dalam tunjuk perasaan besar-besaran di bandar raya kedua terbesar, Zinder semalam.
“Ramai penduduk terpaksa mengurung diri di rumah kerana ketakutan,” kata seorang penganut Kristian.
“Kerajaan patut menghentikan keganasan ini. Ia tidak baik untuk negara kita,” katanya.
Setakat ini, pasukan polis masih berkawal di pinggir bandar serta ditempatkan di beberapa bangunan agama di Niamey.
“Di Niamey, angka korban adalah lima orang, semua mereka adalah orang awam,” kata Presiden Niger, Mahamadou Issoufou dalam siaran televisyen yang meminta penduduk agar bertenang.
Beliau berkata, angka korban di Zinder meningkat kepada lima hari ini dengan empat mayat ditemui rentung di dalam sebuah gereja. – AFP
https://www.youtube.com/watch?v=y3edRHxq7vw