KUALA LUMPUR – Sebanyak 7,000 sukarelawan Puteri Umno dan Sahabat Puteri menyertai ‘Skuad Sukarelawan Prihatin Spirit’ bagi membantu di beberapa negeri terjejas banjir sejak pertengahan Disember lepas.
Daripada jumlah itu, seramai 5,000 sukarelawan adalah anggota Puteri Umno sendiri manakala 2,000 lagi merupakan sahabat sukarelawan Puteri dari seluruh Semenanjung.
Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata lebih 1,000 sukarelawan akan dihantar ke dua kawasan terjejas teruk iaitu Gua Musang dan Kuala Krai di Kelantan, malam ini.
“Dalam misi ini, sukarelawan terbabit akan membantu memasak dan menyediakan makanan untuk mangsa banjir di Gua Musang esok dan di Kuala Krai pada Ahad.
“Selain memasak, sukarelawan ini juga akan membantu melakukan kerja pembersihan di rumah mangsa yang terjejas teruk akibat banjir,” katanya pada sidang media bersempena pelepasan sukarelawan berkenaan ke Kelantan yang akan bertolak malam ini, di sini.
Pada misi kali ini, Puteri Umno juga mendapat kerjasama daripada Global Turbine Asia Sdn Bhd (GTA) bagi menghantar bantuan melalui helikopter secara terus ke kampung yang terputus hubungan darat dan dalam keadaan kritikal.
Pengerusi Eksekutif GTA Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi berkata pada hari ini, bekalan akan dihantar ke Chenor di Pahang dengan menggunakan helikopter AS350 dan esok, bekalan akan dihantar ke Dabong, Kusial Baru dan Tanah Merah di Kelantan dengan menggunakan helikopter jenis EC135T.
“Kita telah mengenal pasti tempat yang sesuai untuk mendarat. Bagi kampung yang terputus hubungan darat, kita akan cuba hantar terus ke sana,” katanya.
Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata kebanyakan sukarelawan yang menyertai misi itu adalah pekerja dan beliau memohon agar majikan dapat memberi pelepasan cuti tanpa rekod untuk tempoh tertentu supaya sukarelawan itu mempunyai masa mencukupi untuk melakukan kerja pembersihan di Kelantan.
“Kerja pembersihan pasca banjir bukan suatu yang mudah dan ia mengambil masa yang lama kerana banyak rumah rosak teruk. Bagi sukarelawan yang ingin menyertai misi kali ini, saya minta menghubungi pusat gerakan Puteri Umno yang beroperasi 24 jam dan tujuh hari seminggu.
“Kita (Puteri) akan bantu membuat dokumen pengesahan mengenai penyertaan anda dalam misi ini untuk diberi kepada majikan masing-masing,” katanya.
Katanya bantuan kali ini memberi keutamaan kepada makanan siap dimakan kerana menyedari bekalan elektrik dan air bersih tidak mencukupi menyukarkan mangsa banjir memasak bekalan makanan yang diberikan. – BERNAMA