KEMANGKATAN Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz awal pagi tadi mengejutkan pasangan kembar Ahmad dan Muhammad Rosli yang pernah mempunyai kenangan tersendiri dengan baginda, suatu ketika dulu.
Almarhum baginda, merupakan individu yang bertanggungjawab membiayai prosedur pembedahan untuk memisahkan mereka yang merupakan pasangan kembar siam, 13 tahun lepas.
Bapa mereka Rosli Abdul Rahim berkata, keluarganya akan menghadiahkan bacaan surah Yasin sebagai tanda menghargai jasa baginda, malam ini.
“Terkejut dan sedih apabila dengar berita kemangkatan baginda. Baginda seorang yang baik hati dan banyak membantu keluarga kami.
BACA JUGA – Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz Mangkat
“Baginda mangkat pada hari Jumaat, penghulu segala hari. Semoga ditempatkan di kalangan orang beriman dan amalan baiknya diterima Allah.
“Insyallah… kami sekeluarga akan menghadiahkan bacaan Yasin malam ini. Ahmad dan Muhammad belum mengetahui tentang perkara ini, saya rasa mereka turut sedih sebaik sahaja diberitahu apabila balik dari sekolah nanti,” katanya kepada Mstar Online hari ini.
Rosli berkata, pasangan Ahmad dan Muhammad kali terakhir bertemu Raja Abdullah pada 2007 apabila mereka diundang bersama beberapa pasangan kembar siam lain yang berjaya dipisahkan menerusi pembiayaan baginda.
“Kami dijemput untuk hadir ke satu majlis bagi mempertemukan semua pasangan kembar siam yang berjaya dipisahkan pada 2007. Kami dibawa ke istananya… baginda seorang yang baik hati, bersikap rendah diri dan dermawan,” katanya.
Baginda bukan sahaja membiayai pembedahan pasangan kembar siam beragama Islam tetapi juga daripada agama-agama lain.
“Ahmad dan Muhammad adalah pasangan keempat atau kelima yang dibiayainya. Baginda membiayai pembedahan pasangan kembar lain tanpa mengira bangsa dan agama dari seluruh dunia,” ujar Rosli.
Katanya, selain memenuhi jemputan ke istana baginda, Raja Abdullah turut mengatur temu janji untuk membuat kaki palsu bagi dua anaknya itu.
Rosli bersama arwah isterinya, Asiah Kanda bersama-sama Ahmad dan Muhammad berada di Arab Saudi selama tiga bulan pada 2007.
Tarikh 17 September 2002 menjadi tarikh keramat apabila pasangan kembar siam yang ketika itu berusia empat tahun berjaya dipisahkan.
Pembedahan yang mengambil masa selama 22 jam 45 minit dan diketuai oleh Dr. Abdullah Abdulaziz Al-Rabeeah yang sekarang merupakan Menteri Kesihatan negara Arab itu, dilakukan di King Fahad National Guard Hospital, Riyadh, Arab Saudi.
Kos pembedahan pemisahan itu menelan belanja RM1.7 juta.
Raja Abdullah dilaporkan mangkat awal pagi ini dalam usia 90 tahun. Baginda dimasukkan ke hospital pada Disember lalu kerana penderitaan radang paru-paru dan sejak itu, baginda hanya bernafas menggunakan tiub. -MYNEWSHUB.CC
Video Berita Kemangkatan Raja Abdullah AbdulazizÂÂ