SETELAH episod demi episod ‘pertelingkahan’ melibatkan bekas pasangan suami isteri Aidil Zafuan Abd Razak dan Rita Rudaini kerana tuntutan nafkah anak-anak mereka, akhirnya Mahkamah Rendah Syariah Petaling memerintahkan Aidil membayar RM3,000 sebulan sebagai nafkah kepada dua puteranya.
Hakim Syarie Abdul Halim Abu Samah membuat keputusan tersebut setelah meneliti kesemua dokumen yang dikemukakan kedua-dua pihak.
Mahkamah turut memerintahkan Aidil memasukkan jumlah tersebut dalam akaun Maybank Rita bermula Februari 2015 selewat-lewatnya 5 haribulan pada setiap bulan.
Namun demikian hakim menolak tuntutan bayaran bagi susu, lampin pakai buang serta pengasuh.
“Keterangan plaintif tidak selari dengan dokumen yang dikemukakannya,” kata Abdul Halim.
Bagaimanapun beliau setuju dengan tuntutan aktres filem Mami Jarum itu terhadap kos perubatan anak-anak hasil perkongsian hidup bersama Adil selama beberapa tahun.
[BACA JUGA: Tuntutan RM1,500 Sebulan Tak Melampau – Rita Rudaini]
“Walaupun defendan (Aidil) dalam keterangannya memaklumkan beliau menyediakan kad perubatan dan akaun simpanan untuk anak-anak namun ia tidak dibuktikan dengan sebarang dokumen,” tambahnya.
Selain itu, mahkamah turut mendapati Aidil tidak mengambil inisiatif untuk membawa Rita dan kedua-dua anak tinggal di rumah yang disediakan majikannya.
“Itu menunjukkan defendan reda anak-anaknya tinggal bersama plaintif di rumah kelaminnya,” kata Abdul Halim.
Sebelum ini Rita membuat tuntutan sebanyak RM5,392 sebulan untuk nafkah Airit Rayyan Rizqin, 6, dan Airit Qaqa Arjuna, 4, yang didakwa merangkumi pelbagai perbelanjaan termasuk makan, minum dan tempat tinggal. -MYNEWSHUB.CC