KUALA LUMPUR – Pasukan pencarian pesawat AirAsia Indonesia penerbangan QZ8501 menemui dua lagi objek besar dipercayai daripada pesawat malang itu semalam, menjadikan empat buah objek besar ditemui setakat ini.
Badan SAR Nasional (Basarnas) Indonesia dalam satu kenyataan hari ini berkata objek berukuran 18 x 5.4 x 2.2 meter dan 12.4 x 0.6 x 0.5 meter itu masing-masing ditemui pada pukul 1.30 tengah hari dan 2.24 petang semalam (waktu Indonesia).
Menurut kenyataan itu, kedua-dua objek berkenaan ditemui berhampiran lokasi dua objek yang telah ditemui sebelum ini.
“Jadi jumlah objek di bawah laut yang dapat dikesan berjumlah empat buah. Seluruh objek tersebut berada di sektor keutamaan pencarian yang telah ditetapkan selama dua hari ini oleh Basarnas,” menurut kenyataan itu.
Badan itu memaklumkan usaha mencari alat rakaman pesawat dan kotak hitam masih belum berhasil.
Setakat semalam, Basarnas bersama pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) telah mengerahkan 14 aset udara dan 26 aset laut ke lokasi pencarian pesawat malang itu, dengan 30 mayat mangsa telah ditemui.
Pesawat AirAsia Indonesia terputus hubungan radar pada Ahad lepas ketika dalam penerbangan dari Surabaya, Indonesia ke Singapura bersama 155 penumpang dan tujuh anak kapal.
Pesawat malang itu terhempas di perairan dekat Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah di Indonesia. – BERNAMA