PETALING JAYA – Ibu kepada kanak-kanak yang terjatuh dari rumah mereka di sini petang semalam menceritkan anaknya itu lebih berselera makan pada pagi kejadian.
Nor Sahura Sahara, 35, berkata tidak seperti kebiasaan, Muhammad Zul Hazriq Danish Aiden, 5, hanya akan makan apabila dipaksa.
“Pagi semalam saya bawa dia keluar pergi makan bersama abangnya. Hazriq sangat susah nak makan, selalu kena paksa. Tetapi semalam apabila abangnya tak habis nasi goreng, dia sendiri minta mahu habiskan makanan abangnya,” katanya kepada pemberita.
Beliau memberitahu tentang kejadian yang menimpa anaknya yang dilapor terjatuh dari Tingkat Enam, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seksyen 8, Kota Damansara petang semalam.
Dalam kejadian pukul 3 petang itu, Nor Sahura berkata, beliau baru selesai mencuci pinggan yang digunakan anaknya ketika makan tengah hari apabila anak keempatnya Muhammad Zul Haiqal Daniel Aiden, 7, datang memberitahu adik bongsunya terjatuh dari rumah mereka.
“Saya terus bergegas ke tingkat bawah dan mendapati anak saya tertiarap dengan kepalanya berdarah, tetapi dia masih bernyawa,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim hari ini.
Beliau dengan linangan air mata berkata beliau hampir pengsan dan terus menangis sebaik melihat keadaan anaknya sehingga beliau terpaksa dipapah dan ditenangkan orang ramai.
Selepas ambulans tiba 30 minit kemudian, keadaan anaknya semakin lemah, katanya.
Muhammad Zul Hazriq Danish kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh dan disahkan meninggal dunia.
Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara lepas solat maghrib semalam.
Nor Sahura menerima Bantuan Kanak-Kanak sebanyak RM400 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat di atas kematian anaknya itu. – BERNAMA
BERITA-BERITA BERKAITAN KEJADIAN DI ATAS: