KUALA LUMPUR – Angin kencang dan laut bergelora kategori kedua di perairan Pahang, Johor Timur, Sarawak, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat) dan Wilayah Persekutuan Labuan dijangka berterusan sehingga Ahad ini.
Menurut Jabatan Meteorologi hari ini, angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam (km/jam) dan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan serta perkhidmatan feri.
“Keadaan sama turut dijangka berlaku di perairan Samui, Tioman, Bunguran, Reef South dan Labuan,” menurut kenyataan itu.
Tiupan angin kencang Timur Laut dan laut bergelora tahap kategori pertama akan berterusan sehingga Ahad ini di perairan Kelantan dan Terengganu dengan kelajuan angin 40 hingga 50 km/jam serta ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5m.
Sementara itu, angin kencang Timur Laut dan laut bergelora kategori ketiga akan berterusan sehingga Ahad ini juga di perairan Condore, Reef North, Layang-layang dan Palawan dengan kelajuan angin melebihi 60 km/jam dengan ketinggian ombak melebihi 4.5m.
“Keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak,” kata Jabatan Meteorologi. – BERNAMA