SINGAPURA – Kali terakhir penyanyi terkenal dari Malaysia, Shahrul Anuar Zain yang berasal dari Kampung Sempang, Merlimau, Melaka ini tampil dalam sebuah konsert di Singapura adalah pada 2008, bersama kakaknya, Ziana Zain.
Dan selepas lebih 30 tahun menapak dalam bidang seni, beliau yang dilahirkan pada 15 Februari 1970 itu bakal meraikan kejayaannya dengan membuat penampilan sulung menerusi konsert ‘Muzik Tiga Dekad’ di sini pada 7 Februari depan.
Dalam temuramah bersama stesen penyiaran tempatan MediaCorp., beliau yang popular sebagai Anuar Zain berkata, Singapura amat dekat di hati kerana para peminat republik itu memberi sokongan begitu padu terhadap kerjayanya.
Justeru, beliau berasa seolah-olah negara itu seperti tanah airnya sendiri dengan memulakan konsert istimewa ‘Muzik Tiga Dekad, Live di Singapura’ berlangsung di panggung The Star Theatre yang mampu memuatkan 5,000 penonton bulan depan.
“Kita berkongsi budaya dan bahasa yang sama, makanan kita pun sama. Dan bagi saya, Singapura adalah satu tempat yang harus saya datang untuk berjumpa dengan peminat-peminat semua kerana sokongan tersebut amat saya hargai.
“Diharapkan pada 7 Februari nanti, peminat akan bahagia, bergembira bawa pulang sesuatu perasaan yang akan diingati selama-lamanya,” ujar beliau yang pernah membuat konsert di Esplanade Singapura dengan kakaknya tujuh tahun lalu.
(Temuramah eksklusif Anuar Zain dengan stesen MediaCorp. Singapore)
Apabila ditanya apakah yang dapat dijangkakan dalam konsert mega selama dua jam itu dan sama ada terdapat sebarang kejutan, Anuar Zain berkata beliau bukanlah suka membuat kejutan atau gimik, namun lebih mementingkan mutu persembahannya.
“Saya lebih suka, apabila buat persembahan, keakraban antara saya dan peminat itu adalah penting kerana bagi saya ‘vibe’ yang dikeluarkan dan diterima itu, jika bercantum, ia menjadi sesuatu begitu indah antara manusia, ikhlas dan tulus bagi saya.
“Setiap kali saya melakukan persembahan, saya dapatkan pertemuan ‘vibe’ itu antara saya dan penonton atau pun peminat. Dan itu saya rasa sudah amat cukup, amat bermakna,” ujar Anuar Zain yang mula menjadi penyanyi pada usia 13 tahun.
Persembahan eksklusif dwibahasa Melayu dan Inggeris itu ditaja Hype Records Pte. Ltd. serta akan bermula pukul 8 malam manakala tiket dijual pada harga S$228 (RM612), S$188 (RM317), S$158 (RM424), S$98 (RM263) dan S$78 (RM209). – Agensi