KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku penyebaran penyakit berjangkit melioidosis yang disebabkan oleh bakteria burkholderia pseudomallei.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jangkitan itu boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan tanah atau air, melalui luka dan menyedut debu atau titisan air yang tercemar.
Menurut beliau, antara tanda dan gejala penyakit melioidosis adalah jangkitan setempat seperti bengkak dan sakit, demam, kudis, bernanah serta jangkitan paru-paru seperti batuk, sakit dada, demam tinggi, sakit kepala dan anorexia.
“Tanda lain adalah jangkitan darah seperti demam, sakit kepala, sakit sendi, masalah penafasan, ketidakselesaan abdomen, kelembutan otot, kekeliruan serta jangkitan disebarkan iaitu susut berat badan, sakit perut atau sakit dada, sakit otot atau sakit sendi, sakit kepala, sawan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Noor Hisham berkata, golongan yang berisiko tinggi terdedah kepada jangkitan itu adalah pesakit kencing manis, penyakit hati, penyakit buah pinggang, talasemia, kanser, pesakit immune-compromised dan penyakit paru-paru kronik.
Sehubungan itu, katanya, mereka yang berisiko tinggi terbabit dinasihatkan mengelakkan sentuhan langsung dengan tanah dan air tercemar serta memakai but yang boleh menghalang jangkitan melalui kaki.
Katanya, golongan tersebut itu juga disarankan memakai sarung tangan apabila berkebun dan menggunakan topeng serta sarung tangan semasa menjaga pesakit.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan secepat mungkin sekiranya mengalami tanda dan gejala awal di fasiliti kesihatan yang berhampiran,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, usaha pemulihan ke atas semua fasiliti kesihatan di negeri terjejas banjir sedang dipertingkatkan bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan dapat beroperasi sepenuhnya dengan segera. - MYNEWSHUB.CC