PENYANYI asal band Mojo, Aweera meluahkan rasa bangganya dengan persembahan dan kemampuan band orang kurang upaya (OKU), Caliph Buskers yang menggantikan peranannya dalam Anugerah Juara Lagu 29 (AJL29) sehingga berjaya meraih kemenangan dalam kategori Persembahan Terbaik.
Mengulas mengenai perkara itu, Aweera mengatakan kepada Sinar Harian, “Saya memang kagum dengan bakatnya yang luar biasa. Walaupun kurang upaya, tapi kehebatannya memang tidak dapat dinafikan.”
Tambah Aweera, dia tidak ralat tidak dapat bertanding dalam pentas muzik berprestij itu kerana menganggap ia bukan rezeki untuk dirinya.
“Saya tidak ralat dengan apa berlaku. Walaupun ada peminat yang sedikit kecewa saya tidak membuat persembahan, tapi mungkin ini bukan rezeki saya dan selepas apa yang berlaku saya perlu teruskan hidup,” katanya.
Sebelum ini, Aweera menarik diri daripada kumpulan Mojo kerana difahamkan mempunyai masalah dalaman dengan kumpulan tersebut.
Mojo kini mempunyai vokalis baharu yang berasal dari Indonesia, Ryan Brakhma yang telah diperkenalkan kepada pihak media minggu lalu. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=ryC9SjGF5co