DALAM pada isu-isu perkauman kian berakar di medium moden seperti Internet dan telefon bimbit, siapa sangka masih wujud ikatan perpaduan antara warga emas berketurunan Melayu dan Cina di hutan kecil yang terletak di pinggir Kuala Lumpur.
Memetik laporan portal The Malaysian Insider, senario ini diceritakan sendiri oleh Mohamed Dris, 74, yang mula dikenali ramai setelah kisah kehidupan daifnya terpapar di media cetak dan elektronik baru-baru ini.
Mengimbau kisah tragis warga emas ini, Dris telah menjadikan hutan berdekatan Wangsa Melawati sebagai kediamannya lebih dari 30 tahun hinggalah dia ditemui sepasukan anggota polis, baru-baru ini.
[WAJIB BACA: Lebih 30 Tahun Warga Emas Tinggal Bersendirian Di Hutan]
Begitu pun Dris menjelaskan, dia sebenarnya tidak tinggal berseorangan di kawasan tersebut kerana ditemani oleh seorang lagi warga emas berbangsa Cina, Ah Tuck, 70.
“Saya tinggal bersama seorang Cina tua. Gigi dia pun sudah tidak ada, mata sudah tidak terang. Saya kasihan dia pun tua. Dia adik-beradik banyak tetapi dia tidak bersetuju dengan adik-beradiknya,” cerita Dris.
Kini, Dris tidak lagi tinggal di pondok uzur yang sekian lama jadi kediamannya setelah seorang individu prihatin menawarkan tempat tinggal baharu di sebuah rumah kedai.
Namun demikian, ‘jirannya’ Ah Tuck masih lagi tinggal di kawasan tersebut dan turut gembira apabila mengetahui Dris telah dipindahkan ke kediaman lebih selesa.
Lelaki warga emas yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu berkata, dia selesa dengan kediaman sekarang dan akan terus tinggal di situ.
“Saya tidak mahu rumah. Mana tahu esok pun saya ‘pergi’.
“Saya dulu potong getah tetapi orang sudah banyak tebang pokok. Kamu pun belum lahir,” ujarnya ketika ditemubual.
Cerita Ah Tuck lagi, rakannya, Dris pernah berkenalan dengan seorang wanita berbangsa India selama beberapa tahun sebelum ini namun wanita tersebut telah pun meninggal dunia.
“Dulu dia ada suka sama seorang perempuan India, kawan enam tahun tapi sekarang sudah mati. Dulu dia duduk SS2 Wangsa Maju.
“Dia pernah beli semua wang KWSP dia pada perempuan itu. Sekarang orang pun tak nak datang jenguknya.”
Kisah Dris dan Ah Tuck sepatutnya dijadikan teladan buat masyarakat Malaysia khususnya anak muda, tentang bagaimana dua individu berbeza latar belakang, dapat saling menjaga dan ambil berat antara satu sama lain. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR
Video UMNO Wangsa Maju Melawat Warga Emas, Mohamed Dris