KUALA LUMPUR – Malaysia sudah mengesahkan satu gelaran pada Kejohanan Grand Prix (GP) Emas Terbuka India di Lucknow selepas dua beregu wanita negara akan bertemu di perlawanan akhir, hari ini.
Pada saingan separuh akhir, semalam gandingan Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei yang juga pilihan utama acara beregu wanita, menewaskan pilihan ketiga dari Thailand, Puttita Supajirakul-Sapsiree Taerattanachai 12-21, 21-16 dan 21-13.
Mereka akan berdepan rakan senegara, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho yang menundukkan beregu tuan rumah, Jwala Gutta-Ashwini Ponnappa 21-16, 19-21 dan 21-13 pada satu lagi aksi separuh akhir.
Dalam pada itu, wakil tunggal negara dalam acara beregu campuran, Chan Peng Soon-Lai Pei Jing gagal mara ke final selepas tewas 16-21, 12-21 kepada pilihan utama dari Indonesia, Riky Widianto-Puspita Richi Dili.
Kejohanan berkenaan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah US$120,000 (RM432,060). – BERNAMA