CHUKAI – Kementerian Pengangkutan menganggarkan kos sebanyak RM360 juta untuk membaik pulih perkhidmatan keretapi di Kelantan dan Pahang yang rosak akibat bencana banjir baru-baru ini.
Timbalan Menteri, Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata kerja baik pulih itu akan terbahagi kepada empat pakej dengan pakej pertama membabitkan Kuala Krai ke Kemubu, Kuala Krai ke Gua Musang (pakej kedua), Bertam Baru ke Lipis (pakej ketiga) dan Bertam Baru ke Kemubu (pakej keempat).
“Kita menjangkakan kerja baik pulih ini akan siap dalam tempoh 12 bulan membabitkan kerja baik pulih landasan, jambatan yang runtuh di Kemubu, stesen keretapi yang rosak serta membaiki lokomotif dan gerabak,” katanya selepas majlis penyerahan bantuan banjir kepada 30 kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Terengganu.
Ketika ini Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) sudah mempunyai peruntukan RM200 juta untuk projek fasa pertama yang perlu dipercepatkan kerja baik pulih landasan di Kuala Krai, Manek Urai, Dabong dan Kemubu kerana ia adalah pengangkutan penting penduduk di pedalaman Kelantan selain menjadi pengangkutan utama anak-anak penduduk setempat ke sekolah.
Beberapa penilaian semula akan dibuat membabitkan jarak landasan sepanjang 250 kilometer di kawasan terjejas banjir di kedua-dua negeri berkenaan sebelum mendapatkan peruntukan tambahan.
KTMB juga akan menaik taraf landasan yang berisiko dilanda banjir, diancam kejadian tanah mendap dan tanah runtuh melalui pembinaan tapak landasan yang lebih kukuh.
“Perkhidmatan keretapi ini bukan sahaja untuk kegunaan membawa penumpang, malah juga pengangkutan untuk kargo kerana ia lebih murah untuk Pantai Timur,” katanya. – BERNAMA