KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) Mohd Fauzi Pilus mengakui banyak kelemahan ketara perlu diperbaiki skuad kendaliannya sebelum menghadapi saingan Liga Malaysia 2015 yang membuka tirai 31 Jan ini.
Beliau berharap beberapa perlawanan persahabatan yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat menjadi medan terbaik kepadanya memperbaiki segala kelemahan yang ada dalam skuad ‘The Cops’ selain menguji beberapa kombinasi baharu.
“Kita akan cuba pertingkatkan lagi persembahan pasukan menerusi beberapa aksi persahabatan selepas ini,” kata Mohd Fauzi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perlawanan persahabatan antara PDRM dan kelab dari Iran, Zob Ahan FC yang berkesudahan seri 2-2 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, di sini, malam ini.
Dua gol skuad ‘The Cops’ dijaringkan oleh penyerang import baharu dari Mali, Dramane Traore pada minit ke-22 dan Mohd Nurul Azwan Roya (minit ke-56) manakala dua gol pasukan pelawat disumbangkan Esmaeil Farhadi pada minit kesembilan dan Marteza Fabrizi minit ke-75.
Dalam pada itu, Mohd Fauzi enggan meletakkan sebarang sasaran khusus kepada juara Liga Perdana 2014 itu sambil mengakui saingan Liga Super musim ini merupakan satu cabaran baharu buat pasukan.
“Kita merupakan pendatang baharu dalam saingan Liga Super musim ini dan bakal menentang beberapa pasukan yang boleh dikatakan agak hebat. Walaupun kita hadir selaku pasukan bukan pilihan, kita akan cuba beri tentangan yang terbaik kepada pasukan lain,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Zob Ahan FC, Yahya Gol Mohamadi berkata beliau berpuas hati dengan prestasi anak buahnya dan turut memuji usaha XBaller menganjurkan perlawanan persahabatan itu.
“Ia perlawanan yang baik buat kami. Kami berasa bangga dapat beraksi di Malaysia buat julung kalinya. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada segelintir penyokong kami yang datang menyaksikan perlawanan ini.
“Saya juga berharap para pemain akan menggunakan masa 12 hari berkampung di Malaysia untuk perbaiki prestasi mereka,” katanya.
Zob Ahan FC yang muncul naib juara Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada 2010, dijadual menentang skuad Harimau Muda (Bawah 22) kendalian Razip Ismail pada aksi kedua mereka, Sabtu ini.
Kunjungan kelab yang berpangkalan di Isfahan, Iran itu dianjurkan oleh XBaller yang merupakan jenama sukan premium tempatan dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). – BERNAMA