SINGAPURA – Kegiatan berbasikal kini membentuk 1% daripada cara perjalanan pengguna jalan raya di Singapura dan jumlah itu dijangka meningkat ekoran rancangan Lembaga Pengangkutan Darat (LTA) untuk mewujudkan rangkaian berbasikal kebangsaan.
Laluan berbasikal sepanjang 700 kilometer dirancang dibina menjelang tahun 2030 di seluruh Singapura, namun jumlah kesalahan melibatkan golongan ini juga didapati meningkat sejak kebelakangan ini, menurut perangkaan terbaru Polis Trafik Singapura.
Kajian menunjukkan, lebih ramai penunggang basikal melanggar undang-undang lalu lintas apabila jumlah saman yang dikeluarkan kepada mereka juga meningkat misalnya pada 2011, jumlahnya hanya 1,200 sebelum ia naik pula kepada 1,455 pada 2013.
Paling teruk, sepanjang enam bulan pertama 2014, jumlah yang didaftarkan melebihi catatan pada enam bulan pertama 2013 melibatkan kesalahan berbasikal di laluan pejalan kaki, tidak mematuhi isyarat lampu merah malah berbasikal mencederakan orang lain.
Salah satu sebabnya ujar polis, ialah jumlah penunggang basikal yang semakin ramai di jalan raya namun pada masa sama, kekurangan infrastruktur memainkan peranan kerana jalan raya sedia ada cuma ada laluan pejalan kaki tetapi tiada laluan basikal.
Perkara tersebut turut dicadangkan Badan Bertindak Berbasikal Secara Selamat Singapura yang menyokong pihak pemerintah agar segera mewujudkan serentak laluan berbasikal dan laluan pejalan kaki di sepanjang jalan raya utama di republik itu.
Bagaimanapun badan tersebut berkata, sementara menantikan infrastruktur berbasikal di Singapura berjaya dinaik taraf, para penunggang juga perlu mengubah sikap mereka dengan berbasikal secara berhemah tanpa membahayakan nyawa orang lain.
Undang-undang jalan raya di Singapura amat tegas dan seseorang penunggang basikal jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga satu tahun dan denda maksimum S$5,000 (RM13,204) jika menyebabkan kecederaan kepada orang ramai. – Agensi