KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan keadaan bekalan air di Kelantan dan Pahang yang terjejas akibat banjir baru-baru ini telah beransur pulih.
SPAN dalam satu kenyataan media memberitahu, kebanyakan loji-loji rawatan Air (LRA) di kedua-dua negeri itu telah dibaik pulih dan dapat beroperasi semula.
Namun, jelas kenyataan itu, masih ada beberapa loji yang masih tidak dapat beroperasi kerana mengalami gangguan bekalan elektrik atau kerosakan teknikal.
“Sehingga pagi ini, cuma sembilan buah LRA di Kelantan masih belum beroperasi sepenuhnya manakala satu loji iaitu LRA Merbau Condong di Jajahan Machang beroperasi separa berbanding sebanyak 24 LRA di negeri itu yang terjejas sebelum ini.
“Dari jumlah loji yang belum beroperasi, lima buah LRA disebabkan ketiadaan bekalan elektrik manakala empat buah LRA disebabkan kerosakan teknikal. Terdapat sebanyak 32 buah LRA di Kelantan,” jelas kenyataan itu hari ini.
SPAN berkata, kegagalan beberapa LRA itu kembali beroperasi seperti biasa menyebabkan sebanyak 17,266 atau 7.7 peratus akaun pengguna bekalan air di Kelantan masih belum mendapat bekalan air melalui paip.
Kata kenyataan itu, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang berusaha untuk membaik pulih pencawang-pencawang elektrik yang menyalurkan bekalan eletrik ke loji-loji yang terjejas.
Tambah kenyataan itu, beberapa loji di Kelantan juga sedang beroperasi dengan bergantung kepada set jana kuasa bergerak yang dibekalkan oleh TNB.
SPAN memaklumkan keadaan bekalan air di Pahang pula telah hampir pulih dengan hanya 7,234 atau 1.9 peratus akaun pengguna di negeri itu belum memperolehi bekalan air.
Jelas kenyataan itu, sebanyak lima LRA masih belum beroperasi di Pahang berbanding 21 buah LRA tersebut yang terjejas sewaktu banjir.
“Pengurusan Air Pahang Bhd. (PAIP) menyediakan 30 lori tangki dan tangki-tangki statik untuk menghantar bantuan air ke hospital-hospital serta pusat pemindahan.
“Selain daripada Kelantan dan Pahang, tiada loji rawatan air di negeri lain dilaporkan berhenti tugas akibat banjir pada masa ini,” kata kenyataan itu. – mynewshub.cc