KUCHING – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak akan menerima tujuh kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux dan sembilan buah lori bagi memperkukuhkan kekuatan logistik jabatan tersebut selain membantu agensi-agensi berkaitan ketika menghadapi bencana.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Nor Hisham Mohammad berkata kelulusan pemerolehan tambahan kenderaan logistik itu sudah diluluskan pihak ibu pejabat, dan dijangka diterima pada Mac atau April tahun ini.
“Tujuh 4WD ini akan bertindak sebagai ‘prime movers’, membantu mengangkut bot supaya lebih cepat dan lebih banyak kawasan dapat kita tolong dan bantu mengangkut bot-bot ketika bencana.
“Berdasarkan pengalaman menghadapi bencana banjir ketika ini khususnya di Limbang, ada jabatan kerajaan dan agensi-agensi lain mereka mempunyai bot, tetapi tidak ada ‘prime movers’ dan ini menyulitkan kerja-kerja bantuan kerana berdasarkan pola, banjir berlaku di kawasan yang tidak diletakkan bot,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Sarawak 2015, di sini hari ini. – BERNAMA