KUALA LUMPUR – Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia Tan Sri Dr Rais Yatim mencadangkan supaya budaya berbudi diterapkan di peringkat sekolah bagi melahirkan masyarakat yang mengamalkan budi bahasa dan nilai murni.
Beliau yang juga pengasas Yayasan Warisanegara berkata satu silibus bersifat universal mengenai nilai, budi dan budaya perlu diwujudkan untuk tujuan pembelajaran tanpa mengira kaum.
“Sekurang-kurangnya satu jam seminggu diperuntukkan untuk diajar etika dan cara hidup berbudi di sekolah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat pada Kursus Tamadun dan Budi di sini hari ini.
Rais menarik perhatian bahawa terdapat segelintir masyarakat yang dilihat tidak mengendahkan budi pekerti termasuk di laman sosial selain tidak lagi menghormati institusi keluarga dan negara.
Menurutnya, ini terjadi kerana ketiadaan latihan berbudi yang diajar secara formal bukan sahaja di peringkat sekolah malah di peringkat agensi kerajaan dan bukan kerajaan serta parti politik.
“Saya ingin menganjurkan termasuk kepada mereka yang suka menempelak dalam media sosial supaya menukar cara, gunakan sistem yang berlandas pada budi dan budaya masing-masing.
“Orang Melayu tinggi dengan nilai dan budaya, orang Cina ada budaya hormat, orang India juga begitu, namun gelombang itu belum terbit,” kata Rais.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya melalui Yayasan Warisanegara, Yayasan Albukhary dan Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia Indonesia (Yarmi) akan mengadakan kerjasama lebih erat dengan Indonesia dalam bidang bahasa, budaya dan sejarah untuk meningkatkan martabat masyarakat Melayu nusantara.
Rais berkata beliau akan ke Jakarta tidak lama lagi bagi membincangkan dengan pihak berkenaan berhubung program yang boleh dilaksanakan secara bersama.- BERNAMA