Pasukan mencari dari pelbagai negara berharap cuaca baik pada hari ini akan memberikan kelebihan kepada mereka untuk menemui lokasi pesawat AirAsia QZ8501 yang terhempas dan berjaya mendapatkan semula kotak hitam (perakam data penerbangan).
Selain itu, misi mencari lebih banyak mayat dan membawanya keluar daripada laut di Selat Karimata juga diharap akan dapat dilunaskan secepat mungkin.
Pihak berkuasa Indonesia kini yakin mereka akan berjaya menemui lokasi sebenar nahas selepas berjaya mengesan empat bahagian besar pesawat AirAsia berkenaan yang terhempas lapan hari lalu.
MENARIK – Penumpang Panik, Enjin Pesawat AirAsia Tiba-Tiba Mati
“Cuaca akan memberikan kita ruang dan peluang hari ini, dengan laut yang sedikit tenang selama dua hari ini,” Kata Ketua Biro Kaji Cuaca Indonesia di Pangkalan Bun, Rukman Soleh.
Pangkalan Bun merupakan sebuah banda di selatan Borneo yang dijadikan pusat operasi bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi pesawat AirAsia jenis Airbus A320-200 itu.
Cuaca di kawasan pencarian selepas pukul 10 pagi (waktu tempatan) hari ini baik untuk pelaksanaan operasi SAR dengan ombak hanya setinggi 1.5 meter hingga 2 meter berbanding 3 hingga 5 meter semalam, menurut Agensi Meteorologi, Geofizik Dan Klimatologi Indonesia (BMKG).
Kelajuan angin juga pada hari ini adalah sekitar 10 hingga 15 knot dengan hujan dijangka turun dengan kadar sederhana.
Pesawat AirAsia berkenaan terhempas pada 28 Disember lepas ketika dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura membawa bersama-sama 162 orang penumpang.
Sehingga saat ini, 30 mayat dikatakan telah ditemui dan empat daripadanya sudah dikenalpasti.
Dua jenazah telah selamat dikebumikan ialah jenazah penumpang Hayati Lutfiah Hamid dan pramugari AirAsia Khairunnisa Haidar Fauzi. – MYNEWSHUB.CC