KEPADA ibu bapa, apakah waktu penggunaan peranti yang sepatutnya diberikan kepada anak-anak anda?
Ini adalah persoalan hangat yang sering dibincangkan oleh kebanyakkan golongan ini.
Ada pihak yang percaya kanak-kanak harus diperkenalkan kepada peranti secepat yang mungkin bagi memberikan mereka kelebihan di masa hadapan.
Terdapat juga pihak ibu bapa yang mahu mengharamkan penggunaan peranti sehinggalah anak mereka cukup besar.
Aneh sekali, pendapat ini disokong oleh mendiang Steve Jobs sendiri, sungguhpun beliau adalah nama besar dalam dunia IT.
Namun di Taiwan, melalui sebuah laporan daripada portal Kotaku, pihak kerajaan di sana telah menetapkan kanak-kanak di antara umur 3-12 tahun hanya boleh menggunakan peranti selama 30 minit bagi setiap sesi penggunaan.
Ibu bapa yang gagal mengawal penggunaan peranti anak-anak mereka boleh didenda sehingga NTD 50 000 (RM 5800).
Bayi di bawah umur tiga tahun pula adalah dilarang sama sekali dari menggunakan peranti.
Undang-undang baru ini digubal selepas kerajaan mendapat saranan dari golongan doktor yang mengatakan jumlah kanak-kanak dengan masalah mata meningkat sejak kebelakangan ini.
Penggunaan peranti pintar dirasakan adalah punca semakin banyak masalah rabun di Taiwan.
Majoriti ibu bapa membantah undang-undang ini kerana ianya sukar untuk dilaksanakan dan sekaligus mencampuri hak mereka untuk membesarkan anak mengikut kehendak peribadi.
Di Malaysia pula heboh berita merotan anak mungkin akan dikategorikan sebagai jenayah.
Kami merasakan jika kerajaan Malaysia mengikut jejak langkah Taiwan, sekali lagi ia akan menimbulkan kontroversi.
-MYNEWSHUB.CC
Sumber: Kotaku
Oleh: hzqahmd