GARA-GARA bengang selepas dimarahi kerana tidak melakukan tugas dengan baik, seorang amah Indonesia bertindak menuang minyak kayu putih ke dalam dua paket susu badan yang disimpan oleh majikannya untuk diberikan kepada anak.
Dalam kejadian yang berlaku di Singapura, paket susu tersebut disimpan oleh majikannya di dalam peti sejuk untuk diberikan kepada bayinya yang baru berusia dua bulan.
Bagaimanapun, majikannya terhidu bau pelik ketika membuka satu daripada lima paket susu yang disimpan. Selepas diperiksa, dia mendapati satu lagi paket susu turut mempunyai bau yang sama.
Curiga dengan perkara itu, majikannya segera menyelongkar barangan amah itu dan menemui botol minyak kayu putih yang mempunyai bau sama dengan paket susu tersebut.
Selepas ditanya, amah berkenaan akhirnya mengakui perbuatannya dan merayu agar tidak diserahkan kepada pihak polis.
Bagaimanapun, rayuan itu tidak diendahkan dan kes tersebut bakal diputuskan pada 15 Januari ini.
Sabit kesalahan, amah itu akan dikenakan denda dan bakal berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun. –MYNEWSHUB.CC
(BACA: Amah Filipina Mati Dibaham Singa Peliharaan Majikan)
https://www.youtube.com/watch?v=MjoPqwzof2g
Oleh: ELZA
(Sumber: The Real Singapore)