LONDON – Legenda Chelsea, Didier Drogba dijangka akan bersara pada akhir musim ini dan membabitkan diri dalam bidang kejurulatihan membantu Jose Mourinho di Stamford Bridge.
Pendirian bintang Ivory Coast itu ada kaitan dengan kehadiran penyerang Rijeka, Andrej Kramaric kini dalam rundingan oleh kelab untuk membelinya.
Drogba, 36, menyertai semula Chelsea pada musim panas ini selepas meninggalkan kelab itu pada 2012 sejurus selepas kejayaan The Blues menjuarai Liga Juara-Juara menewaskan Bayern Munich.
Walaupun membuat 22 kemunculan dalam semua kejohanan, Drogba mendapati dirinya selaku penyerang kedua di belakang Diego Costa.
Ketika sama dia turut bersaing dengan Loic Remy untuk berfungsi selaku penyerang kedua pasukan.
Tambahan, kehadiran Kramaric nanti akan menambah lagi saingan ketika Mourinho mahu menggunakan penyerang Croatia itu dalam pasukan utama, musim depan.
Menurut laporan, Drogba akan membuat pengumuman mengenai persaraannya dalam tempoh dua minggu lagi sebelum menceburi dunia kejurulatihan. – BBC Sport