MADRID – Fernando Torres menyumbat gol pertamanya untuk Atletico Madrid bagi membantu juara La Liga Sepanyol itu mengetepikan penyandang juara Copa del Ray, Real Madrid di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi.
Real tersingkir selepas Atletico menang dengan agregat 4-2 selepas seri 2-2 dalam pertemuan kedua timbal balas, pagi tadi.
Pada pertemuan pertama minggu lalu, Atletico menang 2-0.
Torres meledak pada minit pertama selepas mendapat hantaran Antoine Griezmann untuk memperoleh kelebihan gol di tempat lawan.
Real bangkit menerusi jaringan Sergio Ramos pada minit ke-20 namun sekali lagi Torres merobek jaring tuan rumah menerusi golnya pada minit ke-46.
Pemenang kali ketiga Anugerah Ballon d’Or, Cristiano Ronaldo pula memastikan pasukan tuan rumah tidak diaibkan menerusi jaringan penyamaan pada minit ke-54.
Atletico akan bertemu Barcelona pada suku akhir selepas skuad Catalan itu menang bergaya agregat 9-0 mengatasi Elche selepas menang 4-0 pada pertemuan kedua, awal pagi tadi.
Gol Barca menerusi Jeremy Mathieu, Sergi Roberto, Pedro Rodriguez dan Adriano. – AFP