KUALA TERENGGANU – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memperkenalkan Program Pengukuhan Bekalan Ladang Kontrak Terus ke Pasar Tani (Kukuh) di pasar tani seluruh Terengganu, mulai tahun ini.
Pengarah FAMA negeri Hasan Jusoh berkata program itu bertujuan untuk mengajar petani bagaimana menjual hasil pertanian yang mereka usahakan.
“Setiap pasar tani kita ambil seorang petani untuk mereka niagakan sendiri hasil pertanian mereka seperti kacang panjang, timun, halia, sawi dan cili,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya tidak mengenakan sebarang caj kepada para petani dan dalam masa sama membantu pengguna mendapatkan barangan yang lebih segar, berkualiti dengan harga murah.
Katanya, tinjauan FAMA mendapati barangan ini mendapat sambutan menggalakkan serta habis dijual dalam masa singkat berbanding barang lain. – BERNAMA