KUALA TERENGGANU – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menjangka jualan pasar tani harian di Terengganu meningkat melebihi RM30 juta tahun ini.
Pengarah Fama negeri Hasan Jusoh berkata jangkaan ini berikutan beberapa buah pasar tani baharu akan mula beroperasi tahun ini.
“Kita rancang tiga buah lagi pasar tani baharu akan wujud tahun ini menjadikan kesemuanya 20 buah,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Menurut beliau mengikut perancangan, pasar tani baharu itu di Kuala Terengganu, Kemaman dan Besut yang setiap satu dapat memberi manfaat kepada 50 orang peniaga.
Beliau berkata selain pasar tani harian, pihaknya juga merancang akan membina pasar tani kekal di Kampung Nyior Tujuh, Besut dan Kerteh, Kemaman.
Katanya pasar tani kekal itu masing-masing dianggarkan menelan belanja RM1.5 juta sebuah dan dijangka beroperasi selewat-lewatnya awal tahun depan.
Dalam pada itu Hasan berkata pihaknya telah berjaya melepasi sasaran nilai jualan pasar tani sebanyak RM25.9 juta sehingga November tahun lepas.
“Oleh kerana kira-kira untuk bulan Disember belum siap, kita jangka kita boleh capai jualan melebihi RM30 juta tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata banjir yang melanda negeri ini baru-baru ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada aktiviti jualan di pasar tani.- BERNAMA