PELBAGAI spekulasi dan andaian mula berlegar tentang punca sebenar pesawat AirAsia QZ8501 yang membawa penumpang dari Surabaya ke Singapura, terhempas di perairan Karimata, Ahad lalu.
Faktor paling kuat dikaitkan dengan punca nahas tersebut adalah keadaan cuaca buruk.
Terbaharu, kenyataan rasmi oleh Kerajaan Indonesia menerusi ‘Analisis Meteorologi’ setebal 14 muka surat, menguatkan lagi spekulasi tersebut.
Analisis data cuaca di laluan pesawat sebelum terjadinya nahas menunjukkan berlaku keadaan membimbangkan ekoran angin kencang.
Selain itu, imej satelit merakamkan suhu antara -80 ke -85 °C pada hari kejadian, sekaligus membuktikan berlaku pembentukan ais dalam awan.
Menurut laporan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG), kemungkinan besar faktor cuaca telah menyebabkan terjadi butiran ais (icing) dalam awan yang boleh menyebabkan enjin pesawat rosak.
“Ini bagaimanapun hanya satu analisis apa yang mungkin berlaku berdasarkan data meteorologi yang ada, dan bukan penentuan muktamad mengenai punca kejadian itu,” kata laporan tersebut.
Dalam sidang media malam tadi, Ketua Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS), Bambang Soelistyo berkata, setakat ini hanya 30 mayat telah berjaya ditemui.
Menyingkap imbasan tragedi, pesawat AirAsia yang dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura dilaporkan terputus hubungan dengan menara kawalan udara pada pukul 6.12 pagi, 28 Disember lalu.
Setelah tiga hari misi pencarian pesawat berkenaan, serpihan pesawat QZ8501 dan beberapa mayat ditemui di lautan Kalimantan. –MYNEWSHUB.CC
VIDEO KRONOLOGI PESAWAT QZ8501