TOKYO – Lazimnya setiap wanita pasti ingin kelihatan cantik dengan wajah segar ceria berseri namun lain pula halnya yang berlaku di Jepun apabila wanita negara ‘Matahari Terbit’ itu kini lebih gemar dilihat berwajah seakan pucat lesi macam muka mayat.
Trend fesyen terbaharu dikenali sebagai byojaku itu dilaporkan paling digemari dalam kalangan remaja perempuan pada asalnya mungkin penampilan muka secara semula jadi bagi mereka yang tiada teman lelaki atau baharu sahaja putus cinta dengan kekasih.
Bagaimanapun kini byojaku semakin popular di negara bunga Sakura itu apabila ramai mulai berani tampil mengenakan wajah dengan muka cembeng dan warna kemerahan di bawah garis kelopak mata seperti orang sedang demam panas atau sakit badan.
Muslihat solekan ini sebetulnya sangat mudah dan dapat dilakukan setiap orang iaitu mengaplikasikan teknik ‘blush on’ yang biasanya disapu pada pipi tetapi kini dialih kepada bahagian bawah mata sehingga tampak macam orang menangis atau kurang tidur.
Kaedah byojaku malah semakin dikenali ramai sejak kemunculan pakar solekan secara ‘online’ dikenali sebagai TCB menerusi laman sosial Twitter yang mempopularkan konsep solekan watak cerita kanak-kanak dari barat iaitu Little Red Riding Hood.
TCB bahkan membuat kempen bagi menyediakan dana untuk melengkapkan sebuah laman web dikenali sebagai Makuake yang menggunakan konsep ala program realiti televisyen iaitu menjadikan idea solekan ‘gila-gila’ seseorang berubah menjadi kenyataan.
Setakat ini kempen itu berjaya mengumpul kira-kira sejuta yen (RM29,165) dan bagi menarik minat ramai, sesiapa derma 3,500 yen (RM102) bakal menerima satu set solekan Little Red Riding Hood terdiri daripada eyeshadow warna merah, coklat dan putih.
“Berdasarkan trend pelajar di Jepun, penampilan byojaku ini mampu menggetarkan hati seseorang untuk mendekati gadis tersebut dan berusaha cuba melindunginya,” ujar Kanako Kirita, seorang wartawan majalah remaja perempuan bernama Ranzuki. – AgensiÂÂ